Sabtu, 30 Mac 2013

Wangian - penyebab kanser

Wangian - penyebab kanser




Bahan kimia yang terkandung dalam wangian boleh menyebabkan kesan alahan, asma, kanser, kecacatan bayi dalam kandungan, keguguran, penyakit sistem saraf seperti parkinson, alzheimer dan lain-lain. Ia juga boleh memberi kesan keracunan kepada manusia melalui pernafasan dan sentuhan kulit sama ada secara akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).

Kesan keracunan akut biasanya disebabkan alahan seseorang terhadap kimia wangian tertentu, ada individu yang sangat sensitif dan menunjukkan tanda alahan walaupun terdedah dengan bau atau sapuan kecil. Terdapat juga individu yang tidak menunjukkan sebarang tanda keracunan akut walaupun terdedah pada dos yang tinggi.

Keracunan kronik adalah disebabkan penggunaan yang berulang pada tempoh yang lama dan tanpa disedari sehinggalah muncul tanda keracunan.Produk yang memberi kesan langsung kepada sistem pernafasan adalah seperti penyegar udara, semburan wangian badan dan rambut, pengilat kuku dan pelarutnya serta lain-lain.

Semburan, wap atau gas bahan kimia ini akan memasuki saluran pernafasan dan memberi kesan kepada bahagian hidung, tekak, paru-paru dan seterusnya ke bahagian anggota badan lain melalui sistem peredaran darah.

Produk yang terlibat melalui sentuhan kulit pula ialah sabun, syampu, krim, pencukur, peluntur pakaian, barangan kosmetik, detergen, pelembut pakaian dan lain-lain. Bahan kimia ini boleh menjerap ke dalam lapisan kulit dan memasuki aliran darah seterusnya memberi kesan ke bahagian lain anggota badan.

Jadual berikut menunjukkan contoh bahan kimia di dalam produk wangian seperti minyak wangi, penyegar udara, sabun pencuci pinggan mangkuk, pewarna dan pencuci kuku, penyembur rambut, penyembur badan, produk kosmetik, syampu, sabun, peluntur pakaian dan pelembut pakaian, detergen dan potpuri.




Tanda Keracunan

Secara amnya keracunan wangian ditunjukkan oleh tanda berikut seperti yang dikeluarkan oleh Pusat Kebangsaan Strategi Kesihatan Alam Sekitar, Kanada pada tahun 1990:

Mata berair, penglihatan berganda, bersin, sesak nafas, alergi rinitis, sinusitis, tinnitus, pening, vertigo, batuk, bronkitis, kesukaran bernafas, ketat dada, asma, anafilaksis, pening, migrain, sakit kepala, disorientasi, kehilangan memori berkala, ketegangan, awan, kemurungan, perubahan tingkah laku, ruam, ekzema, kemerahan, keradangan otot dan sendi, sakit, lemah, denyutan jantung yang tidak teratur dan laju.


Anda dinasihatkan supaya membaca label pada produk wangian terlebih dahulu sebelum membeli bagi mengetahui sama ada bahan kirnia yang digunakan adalah daripada jenis yang selamat kepada diri atau anak dalam kandungan.

Elakkan pendedahan bertoksik terutamanya kanak-kanak. Sekiranya ada kemusykilan, anda boleh menghubungi pihak yang bertanggungjawab tentang kesihatan pengguna atau Pusat Racun Negara. Beringatlah! Tidak semua yang wangi itu baik untuk kita.

Sumber : Pusat Racun Negara