Selasa, 8 Oktober 2013

Hormon punca botak

Hormon punca botak







Saya mahu menceritakan masalah yang lazimnya berlaku kepada lelaki tetapi bukan berkenaan seksual. Kebelakangan ini, saya sering mendapat soalan dan pesakit yang merujuk mengenai masalah keguguran rambut.

Walaupun masalah ini berkait rapat dengan hormon testosteron, ia tidak bermakna masalah keguguran rambut adalah masalah seksual bagi lelaki.

Biasanya, pakar rambut atau trikologis dapat membantu menerangkan mengenai perkara ini dan mungkin dapat memberi tip serta panduan yang anda perlu tahu mengenai isu rambut itu.

Memandangkan perkara ini merunsingkan lelaki, saya akan huraikan sedikit sebanyak maklumat mengenai masalah keguguran rambut kepada pembaca ruangan ini.


Ketumbuhan rambut mengikut putaran ketumbuhannya mampu bertahan selama dua hingga tiga tahun. Sehelai rambut memanjang 1 sentimeter (sm) sebulan.


Sejumlah 90 peratus daripada rambut di atas kepala kita menjalani tumbesaran dan hanya 10 peratus berada dalam fasa rehat, yang bertahan untuk beberapa bulan sebelum ia gugur dan rambut baru akan mula menjelma.

Perkara biasa jika sesiapa mengalami masalah keguguran rambut setiap hari dan ada kalanya ia berlaku secara ketara dan tiba-tiba, baik kanak-kanak, orang muda atau tua, lelaki dan perempuan.

Apabila sebahagian kepala kehilangan rambut dan licin, bahagian itu digelar ‘botak’ dan corak ‘botak’ yang biasa kelihatan ialah corak botak lelaki atau “male-pattern baldness’ atau botak yang kekal.

Ia juga dikenali sebagai botak ‘androgenetic’. Corak botak begini sering dialami lelaki dan ia ada kaitan dengan baka. Lelaki yang mengalami masalah ini sejak usia muda akan mendapati corak kebotakannya ketara dan ia bermula dari atas dan turun ke bawah.

Wanita juga boleh mengalami corak kebotakan lelaki. Rambut mereka menjadi halus dan kulit kepala akan kelihatan.

Ada pelbagai sebab keguguran rambut secara ketara boleh berlaku, misalnya keguguran rambut secara tiba-tiba selepas dua atau tiga bulan sembuh daripada penyakit. Ia berlaku akibat tekanan penyakit dan biasanya hanya sementara.

Bagaimanapun, jumlah rambut tetap kurang walaupun tekanan itu pulih. Tekanan hormon juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

Jika pundi tiroid anda aktif atau kurang aktif, keguguran rambut boleh berlaku. Sama juga jika anda mengalami hormon testosterone yang tidak seimbang. Membetulkan imbangan hormon dapat membantu memulihkan keadaan.

Sama juga untuk perempuan, apabila pergolakan hormon wanita berlaku seperti putaran haid tidak menentu atau selepas kehamilan atau ketika masuk dalam peringkat menopaus. Apabila situasi itu dapat dikendalikan, keguguran rambut terkawal.

Sesetengah ubat boleh menyebabkan keguguran rambut seperti ubat mencairkan darah, ubat untuk penyakit gout dan tekanan darah tinggi, pil merancang keluarga dan ubat ‘antidepressant’ atau ubat pengawal kemurungan.

Sesetengah penyakit kronik seperti psoriasis dan kencing manis boleh menyebabkan keguguran rambut. Penyakit kulat pada kulit kepala juga boleh menyebabkan masalah ini. Apabila kulat dihapuskan, rambut akan kembali tumbuh.

Penting untuk anda berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan mengenai keguguran rambut. Rujuk kepada doktor keluarga yang akan melakukan pemeriksaan selain bertanya beberapa soalan mengenai amalan harian anda.

Jika masalah anda tidak dapat dipulihkan, doktor akan merujukkan anda kepada pakar berkaitan.