BERMULA tahun 1967, setiap orang Chagos yang meninggalkan Pulau Diego
Garcia untuk rawatan perubatan atau bercuti di Mauritius, tidak lagi
dibenarkan pulang ke tanah air mereka.
Tanpa ditemani keluarga atau harta benda, penduduk asal pulau yang
terletak di jantung Lautan Hindi itu terpaksa merempat di penempatan
setinggan Mauritius. Sehingga tahun 1973, hampir 1,200 orang Chagos
dipindah secara paksaan ke Mauritius dan Seychelles.
Keluarga Jeannette Alexis antara penduduk Diego Garcia terakhir
dipindahkan. Imbas Alexis: "Ayah memberitahu bahawa kami mesti
meninggalkan pulau ini (Diego Garcia) kerana orang Amerika akan
berpindah masuk dan ia tidak lagi selamat untuk kami sekeluarga."
Sudahlah mereka dihalau, haiwan peliharaan mereka terutama anjing
dibunuh tentera British menggunakan gas dan kemudiannya dibakar.
"Anda boleh bayangkan tekanan yang mereka letakkan ke atas kami. Saya
menangis dan berpaut pada kaki ibu dan walaupun masih kecil ketika itu,
saya sedar bahawa kami telah meninggalkan sesuatu yang berharga dan ia
merupakan rumah kami," luah Alexis.
Marcel Moulinie, pengurus sebuah ladang kelapa di pulau berkeluasan
44 kilometer (km) persegi itu menceritakan, dia diarahkan kerajaan
British untuk memindahkan semua penduduk keluar.
"Apabila tiba waktu berpindah, mereka tidak dibenarkan membawa
apa-apa selain beg berisi baju. Kapal kargo pemindahan yang digunakan
pula kecil dan mereka terpaksa berhimpit selama lima jam," dedah
Moulinie.
Penduduk Diego Garcia memberitahu bahawa mereka meninggalkan syurga
dan dicampak ke neraka apabila tiba di Pelabuhan Louis, Mauritius.
Berbekalkan kepakaran menangkap ikan dan berkebun, tanpa kemahiran
profesional, mereka berdepan kesulitan mengadaptasi kehidupan di bandar
serba lengkap itu.
Tambah menyayat hati, selepas ditinggalkan tanpa wang, pekerjaan yang
dijanjikan dan rumah baharu, orang Chagos terpaksa berdikari hidup
dalam buangan di tanah asing.
Selepas tiga dekad, tiada siapa mengetahui kisah kesengsaraan orang
Chagos sehingga seorang penduduk asalnya, Olivier Bancoult, presiden
bagi Persatuan Pelarian Chagos mendakwa kerajaan Britain di mahkamah.
Amarah Bancoult tidak terbendung setiap kali mengenang penderitaan
yang dilalui bangsanya. Tiga abang Bancoult mati sebagai pemabuk akibat
berputus asa dengan kesempitan hidup kritikal manakala adik perempuannya
membunuh diri kerana terlalu merindui Diego Garcia.
LAPANGAN terbang Diego Garcia memainkan peranan penting ketika serangan ke atas Iraq dan Afghanistan.
"Ia menyiat-nyiat perasaan saya dan sebab itu saya tidak akan
berputus asa. Semua ini terjadi kerana AS dan British membuat hidup kami
merana," luah Bancoult menerusi laporan rangkaian televisyen dan radio
Amerika Syarikat (AS), CBS News pada Jun 2003.
Kelapa
Kontroversi membabitkan hak untuk pulang penduduk asal Diego Garcia
dengan kerajaan Britain dan AS mendapat perhatian dunia. Namun ia tidak
diperjuangkan secara besar-besaran ekoran bilangan kecil rakyatnya yang
kini meningkat kepada 5,000 orang.
Mengupas punca perpindahan paksaan itu, penulis buku Island of Shame:
The Secret History of The U.S. Military on Diego Garcia, David Vine
seperti yang dipetik daripada Global Research pada tahun 2009
mendedahkan, orang Chagos dipindahkan kerana populasi mereka yang kecil
dan bukan tergolong dalam orang kulit putih.
Pihak AS juga cuba menyebarkan cerita palsu dengan mengatakan orang
Chagos hanyalah pekerja kontrak sementara yang mendiami Diego Garcia
untuk jangka masa singkat. Sementelah, mereka telah hidup di pulau itu
sejak Revolusi Amerika iaitu hampir 200 tahun.
Jelas Vine yang juga profesor antropologi di Universiti Amerika,
Washington DC, orang Chagos diimport dari Afrika, India dan sekitar
Kepulauan Melayu bagi bekerja di ladang kelapa dan kopra (kelapa kering)
di pulau itu.
Nenek moyang
Diego Garcia yang merupakan salah satu daripada 52 pulau dalam
Kepulauan Chagos pada asalnya bukanlah penempatan manusia. Ia ditemui
pelayar Portugis, Vasco de Gama sekitar 1500-an tetapi tidak diiktiraf
di dalam peta dunia.
Pada abad ke-18 (1700-1800), Perancis meletakkan Diego Garcia di
bawah jajahan Mauritius. Hamba-hamba yang dibawa masuk ke pulau itu
untuk sektor agrikultur kemudiannya menjadi majoriti penduduk dan
merupakan nenek moyang keturunan Chagos hari ini.
PANGKALAN tentera bersama Amerika
Syarikat dan Britain ini menjadi lokasi strategik bagi dua kuasa besar
ini meluaskan dominasi di Asia Barat.
British kemudian menawan Mauritius ketika Perang Napolean dan
mendapat milikan ke atas Diego Garcia menerusi Perjanjian Paris. Tidak
lama kemudian, pada tahun 1883, sistem penghambaan dihapuskan dalam
sistem empayar British membolehkan orang Chagos membina peradaban
sendiri.
Sehingga tahun 1971, pendapatan utama penduduk pulau itu diperoleh
hasil perdagangan minyak kelapa. Ia merupakan sektor perladangan yang
menguntungkan kerana minyak kelapa itu dijadikan minyak mesin yang
berkualiti dan digunakan dalam lampu-lampu di Eropah.
Setahun selepas penubuhan Jajahan Lautan Hindi British (BIOT) pada
tahun 1965, satu perjanjian rasmi telah ditandatangani antara United
Kingdom (UK) dan AS bagi menjadikan Diego Garcia sebagai pangkalan
tentera bersama.
Bagi menguatkuasakan perjanjian itu, Britain memisahkan Kepulauan
Chagos daripada jajahan Mauritius, biarpun tindakan mereka menyalahi
undang-undang penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berdasarkan perjanjian itu, Diego Garcia dipajak kepada AS sebagai
pertukaran pemansuhan hutang membeli peralatan ketenteraan bernilai
AS$14 juta (RM45 juta).
Laman web Infoplease menyatakan, Diego Garcia terletak di luar
rangkaian siklon (angin puting beliung) menjadikan ia pangkalan tentera
efektif ketika Perang Dingin dan bagi memerhati pergerakan Kesatuan
Soviet. Fungsinya sebagai pangkalan hadapan juga diiktiraf ketika Perang
Teluk 1991.
"Menerusi Diego Garcia, AS boleh meluaskan kuasanya di sepanjang Asia
Barat, Afrika Timur, India, Australia dan Indonesia," jelas Vine yang
menyatakan AS kini memiliki kira-kira 1,000 buah pangkalan termasuk 287
di Jerman, 130 di Jepun dan 57 di Itali.
Diego Garcia juga dilengkapi pesawat pengebom terbesar AS termasuk
Air Force B-52, B-1B dan B-2. Buktinya pada 17 Disember 1998, hampir 100
peluru berpandu kruis jarak jauh dilancarkan ke Iraq di bawah Operasi
Desert Fox.
Pada 7 Oktober 2001 pula, AS sekali lagi menggunakan Diego Garcia
sebagai pelancar pesawat pengebom B-52 dan B-2 bagi menyerang
Afghanistan. Biarpun terletak lebih 4,828km dari selatan Iraq, ia tidak
mengundang sebarang masalah logistik kepada AS. Malah Tentera Udara AS
pernah mendedahkan bahawa B-52 mereka boleh menjangkau jarak melebihi
14,162km.
Seperti yang dinyatakan pada laman web rasmi Fasiliti Sokongan
Tentera Laut Diego Garcia, kedudukan terpencil pulau itu membolehkan ia
menjadi hab kunci bagi mengesan satelit dan bertindak sebagai salah satu
daripada lima stesen pengawasan Penentu Kedudukan Global (GPS). Ia
turut dilengkapi sistem Pengawasan Angkasa Optikal Elektro Darat bagi
mengesan objek di ruang udara.
PENDUDUK asal pulau ini menjalani kehidupan berasaskan sistem sara hidup menerusi pertanian dan perikanan.
|
Dokumen rahsia
Berbalik kepada tuntutan hak kembali ke Diego Garcia oleh orang
Chagos, pada tahun 2000, Bancoult bersama peguamnya, Richard Gifford
berjaya menemui dokumen-dokumen rahsia yang telah diubah status
berhubung penjelasan perjanjian antara AS dan Britain berkenaan
pembinaan pangkalan tentera Diego Garcia.
Pendedahan daripada pihak Bancoult membawa kejayaan bermakna.
Mahkamah Tinggi Britain memutuskan bahawa memindahkan penduduk asal
Diego Garcia sebagai satu kegiatan haram.
"Orang Chagos tidak pernah menolak pangkalan AS di Diego Garcia
tetapi mereka berkecil hati kerana dinafikan peluang pekerjaan di sana,"
ujar Gifford.
Bagi mengekang kemaraan orang Chagos, kerajaan Britain mengeluarkan
Titah Berkenan pada tahun 2004 bagi mengharamkan penduduk asal untuk
kembali. Prerogatif diraja tradisional itu membolehkan Britain menolak
keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2000.
Namun pada Mei 2006, Mahkamah Tinggi di London memutuskan bahawa
orang Chagos mungkin boleh pulang ke pulau lain di dalam Kepulauan
Chagos dan menyifatkan tindakan kerajaan Britain sebagai menyalahi
undang-undang dan melanggar standard moral.
Menurut laporan Huffington Post, meskipun tiga mahkamah rendah di
Britain berpihak kepada orang Chagos, keputusan Mahkamah Tinggi dengan
margin 3-2 berpihak kepada kerajaan Britain meranapkan impian penduduk
asal Diego Garcia. Tahun lalu, Mahkamah Hak Kemanusiaan Eropah juga
menolak rayuan akhir orang Chagos.
"Ia adalah pangkalan penting, saya setuju tetapi pada masa yang sama,
mereka perlu sedar bahawa manusia juga penting," luah Alexis.