Selasa, 19 Oktober 2010

MRT hubung ibu kota ke enam kawasan

MRT hubung ibu kota ke enam kawasan

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahamdfarizal@bharian.com.my
2010/10/18



Sepertiga daripada 150KM landasan dibina bawah tanah tingkat sistem pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Projek Sistem Pengangkutan Pantas (MRT) Lembah Klang Kuala Lumpur yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2011, Jumaat lalu, membabitkan pembinaan rangkaian rel menghubungkan ibu kota dengan enam kawasan yang memanfaatkan lebih enam juta pengguna.

Projek berharga RM40 bilion itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pertengahan tahun depan meliputi laluan ke Serdang, Cheras, Kepong, Damansara, Subang Jaya dan Puchong.

Menurut sumber Kementerian Kewangan, sepertiga daripada rangkaian rel sepanjang 150 kilometer itu akan dibina di bawah tanah.

“Ia menawarkan perkhidmatan lebih mesra pengguna, sekali gus membolehkan penumpang membuat transit antara stesen dengan mudah kerana memiliki penambahan jaringan rangkaian lengkap membabitkan perkhidmatan kereta api antara bandar, komuter, monorel, transit aliran ringan (LRT), Ekspress Rail Link (ERL),” katanya, semalam.

Projek MRT satu daripada lima program utama yang akan dilaksanakan di bawah projek Greater KL yang meliputi ibu negara dan bandar satelit di sekitarnya.

Empat lagi program ialah mewujudkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur dengan pengkhususan dalam kewangan Islam; membangunkan Sime Darby Vision Valley; memajukan Tasik Perdana seluas 101 hektar sebagai taman botani bertaraf dunia dan menjadikan Greater KL destinasi pelancongan utama dunia.
Sumber berkata, projek MRT bakal meningkatkan tahap kecekapan sistem pengangkutan awam negara secara bersepadu, setanding dengan ibu negara maju lain seperti Seoul dan Tokyo.

Beliau berkata, projek berkenaan juga mampu membantu kerajaan mencapai meningkatkan peratusan penggunaan pengangkutan awam pada waktu puncak.

Kini, penggunaan pengangkutan awam di Malaysia hanya 16 peratus antara terendah di dunia berbanding Seoul (60 peratus), Singapura (56 peratus), Manila (54 peratus), Tokyo (49 peratus) dan Bangkok (40 peratus).

“Apabila projek MRT siap pada 2020, ia meningkatkan lagi penggunaan perkhidmatan awam kepada lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek MRT itu, pengumuman pelantikan kontraktor utama akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menyerahkan kajian daya maju cadangan pelaksanaan projek MRT kepada kerajaan minggu ini atau minggu depan untuk diluluskan secepat mungkin.

“Jika semua berjalan lancar, pembinaan MRT di Lembah Klang bermula pertengahan tahun depan merangkumi beberapa landasan yang satu daripadanya berpusing di luar pusat bandar, sementara beberapa lagi merentasi pusat bandar dan hampir menyamai rangkaian tren di bandar raya utama dunia,” katanya.


Gamuda-MMC ada kepakaran, teknologi terajui projek

KUALA LUMPUR: Konsortium usaha sama Gamuda Bhd dan MMC Corporation Bhd (Gamuda-MMC), muncul kontraktor pilihan melaksanakan projek Transit Aliran Pantas (MRT) Lembah Klang Kuala Lumpur membabitkan kos RM40 bilion.

Sumber Kementerian Kewangan berkata, meskipun kerajaan belum membuat pengumuman rasmi mengenainya, konsortium itu dilihat paling sesuai berdasarkan teknologi dan kepakaran dimiliki mereka dalam melaksanakan projek berkaitan di dalam dan luar negara.

Difahamkan, Gamuda-MMC juga satu-satunya pembida projek itu setakat ini.
“Fasa pertama kos sebenar pelaksanaan projek MRT sudah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2011, Jumaat lalu.

“Kini bermulalah fasa kedua, pelantikan kontraktor utama bagi melaksanakannya yang akan dibuat sebelum akhir tahun ini bagi membolehkan projek itu dimulakan tahun depan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Gamuda-MMC menjalankan kerja pembinaan projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion yang dijangka siap 2012.

Sebelum ini, konsortium itu terbabit dalam pembinaan Terowong SMART, yang sejak beroperasi pada Julai 2007 berjaya mengatasi masalah banjir di ibu kota, sekali gus mengelakkan kerugian harta benda sekitar RM700 juta.

Gamuda secara bersendirian juga terbabit dalam mengendalikan tugasan membangunkan projek MRT di Taiwan yang kini dikenali sebagai Kaohsiung MRT.

Sumber berkata, jika kerajaan berpuas hati dengan cadangan dan kajian dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kerja pembinaan projek MRT yang merentasi kawasan Greater KL akan bermula pada separuh kedua tahun depan.

“Menurut cadangan awal, konsortium Gamuda-MMC akan melaksanakan kerja bahagian bawah tanah dan beberapa kerja kejuruteraan berat lain yang dianggarkan 50 peratus daripada keseluruhan projek itu.

"Baki 50 peratus kerja, khususnya kerja pembinaan prasarana ringan lain akan ditenderkan kepada kontraktor lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Gamuda Bhd, Datuk Ir Paul Ha, ketika ditemui pada forum pembinaan di Kuala Lumpur baru-baru ini, berkata jika pihaknya dilantik sebagai kontraktor utama, Gamuda akan menerbitkan bon untuk menjana dana bagi membiayai projek berkenaan.

Sumber Unit Perkongsian Awam-Swasta (3PU) memberitahu Berita Harian, dalam melancarkan perjalanan projek MRT, kerajaan akan membantu syarikat swasta yang dilantik menerusi penyuntikan dana di bawah Dana Mudah Cara sebanyak RM20 bilion.

“Dana berkenaan memang diwujudkan bagi memudahkan pelaburan swasta dalam projek berimpak besar dan memiliki nilai strategik kepada negara serta kesan penggandaan yang tinggi,” katanya.

3PU adalah unit baru yang diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi teras yang bertanggungjawab menggunakan Dana Mudah Cara bagi menyelaraskan projek penswastaan dan unit kerjasama awam swasta (PPP).


Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan